Skip to content

Musim Luruh Di Istanbul, Turki

Sejak dua minggu lalu saya mula menonton drama bersiri dari Turki. Sambil menonton drama itu, saya tidak boleh lari dari mengingatkan pengalaman manis pertama kali saya berada di Istanbul pada musim luruh yang kebetulan sekarang memang musim luruh di Hemisfera Utara. Saya berada di sana lebih kurang satu minggu termasuk hari penerbangan pergi dan pulang. Di dalam banyak-banyak long trip sewaktu bertugas sebagai pramugari, trip ke Istanbul inilah antara yang terbaik sekali yang pernah saya rasai.

Ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Istanbul, saya bertugas di kelas perniagaan. Salah seorang penumpang saya ialah Datuk Shahrizat Abdul Jalil yang merupakan menteri dan wakil rakyat pada ketika itu. Walaupun penerbangan hampir 12 jam, tetapi saya tidak berkesempatan bergambar bersama. Beliau ada berhenti sebentar di dapur kami dan berbual dengan rakan sekerja sebelum atau selepas keluar dari tandas. Selain penerbangan selamat pergi dan pulang, lebih menggembirakan apabila mendapat set crew atau rakan-rakan sekerja yang boleh dikatakan ‘satu kepala’ atau ‘gila-gila’. Seorang foreign crew, iaitu Miki yang berasal dari Korea Selatan juga turut keluar bersiar-siar bersama kami.

Sepanjang satu minggu kami habiskan masa bersama seperti sebuah keluarga. Bersiar-siar, membeli-belah, masak, makan semuanya bersama, malah kami beramai-ramai memasak nasi lemak di dalam bilik hotel untuk sarapan pagi. Walaupun ibu saya dahulu menjual nasi lemak, tetapi sewaktu di Istanbul, itulah pertama kali saya masak sendiri bersama rakan-rakan. Lauk-pauk pula dibawa oleh mereka yang telah disejuk beku dari Malaysia. Manakala saya dan rakan pula pergi ke kedai runcit berdekatan dengan hotel untuk membeli telur dan bahan lain untuk masak nasi lemak itu.

Antara ramai-ramai rakan sekerja di dalam trip ke Istanbul itu, saya paling rapat dengan pramugara bernama Azizi. Kami keluar bersama setiap hari termasuk hari terakhir di Istanbul di mana hari itu ramai yang sudah malas untuk keluar hotel. Kami berdua tetap keluar bersiar-siar dan menolong mengambil gambar masing-masing. Sungguh seronok apabila dapat keluar bersama Azizi yang ‘kaki bergambar’ seperti saya. Kami juga pernah bertugas bersama lagi selepas dari Istanbul.

Kesemua lima gambar di atas ini dirakamkan oleh Azizi. Beberapa tahun lalu saya mendapat perkhabaran yang Azizi telah meninggal dunia. Tidak ada sesiapa yang memadamkan akaun Instagram beliau dan sehingga kini ‘beliau masih’ mengikuti saya di dalam Instagram Shery On The Move.

Saya berasa beruntung, bertuah dan bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan di mana saya mendapat kerja yang membolehkan saya menjejakkan kaki ke negara-negara luar. Saya suka Istanbul terutamanya pada musim kegemaran saya iaitu musim luruh, tetapi kena lebih berhati-hati kerana di sana ramai conman dan penyeluk saku. Rakan sekerja saya menjadi mangsa penyeluk saku ketika kami berada di dalam tram. Ia terjadi pada musim panas tahun 2009. Penjual di sana juga tidak semuanya peramah dan ramai juga yang cuba menipu. Saya suka Istanbul kerana kekayaan seni bina bangunannya. Tengok sahajalah empat gambar pertama di atas yang
dirakamkan di Masjid Biru atas bantuan Azizie.

Video penuh di mana saya kongsikan gambar-gambar yang dirakamkan di Istanbul telah saya kongsikan di dalam video yang disiarkan di saluran You Tube Shery On The Move. https://youtu.be/bg-DPVj_bCo
Pramugara Azizi memakai jaket putih pada awal minit pertama 0:22 dan pramugari Miki dari Korea Selatan memakai jaket hijau duduk bergambar bersebelahan saya di hadapan Masjid Biru pada awal minit pertama 0:50.

Semoga Azizi sentiasa tenang di sana bersama orang-orang yang soleh.
Al Fatihah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *