Saya menerima berita kematian pengarah terkenal dari Malaysia, iaitu Mamat Khalid lebih kurang tiga jam lalu, tengah hari Sabtu waktu di Vancouver, Kanada. Walaupun beliau sudah banyak kali keluar dan masuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan, tetapi pemergiannya tetap memeranjatkan saya.
Mamat Khalid merupakan adik kepada kartunis Datuk Lat yang berasal dari Ipoh, Perak. Beliau terkenal kerana drama-drama serta filem-filem karyanya sentiasa melucukan. Paling menjadi kegemaran saya ialah drama Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel, filem Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Apa yang membuatkan saya tertarik dengan drama dan filem beliau ialah kerana watak dan lokasi pengambaran yang dijalankan di Perak serta para pelakon bercakap dengan loghat Perak juga.
Rumah Mamat Khalid terletak di belakang rumah keluarga saya di Ipoh, malah beliau dan isterinya merupakan sahabat baik kakak saya sejak dari bangku persekolahan lagi. Kakak saya tua satu tahun dari Mamat Khalid. Kakak saya kerap menghadiri majlis yang dianjurkan oleh mereka suami isteri dan seingat saya yang paling terkini ialah mereka bertiga sama-sama pergi menerima vaksin COVID-19 di Ipoh beberapa bulan lalu. Ibu beliau juga mengenali ibu saya. Oleh kerana itulah beliau dan isteri menghadiri majlis perkahwinan saya pada sebelah malam 25 September 2009.
Menjadi kenangan manis buat saya kerana berpeluang berjumpa beberapa kali dengan dengan Mamat Khalid apabila beliau datang ke rumah keluarga saya dan abangnya Datuk Lat apabila beliau melawat ke sekolah menengah saya pada tahun 1998. Salam Takziah buat Kak Hasmah sekeluarga. Semoga Allahyarham tenang di sana bersama orang-orang yang beriman. InsyaAllah.
Al Fatihah.
Sampai skrg masih tak dpt menerima lagi berita ni. Macam tak percaya. Al- Fatihah…
Ye betul. Sedihkan. Al Fatihah