Saya masih ingat sewaktu baharu berpindah ke rumah sewa di Puchong, Selangor, Malaysia setelah selesai menjalani latihan penerbangan pada tahun 2005, rakan serumah saya sering putarkan cakera padat album pertama Michael Buble. Sejak dari itulah saya meminati lagu-lagu beliau. Suara Michael Buble sangat unik dan beliau memang sesuai menyanyikan lagu-lagu lama contohnya lagu hari Krismas.
Saya bukanlah peminat ‘gila’ Michael Buble seperti mana saya meminati kumpulan Backstreet Boys dan saya juga tidak hafal banyak lagu Michael Buble seperti mana saya dapat hafal hampir semua lagu-lagu Backstreet Boys. Akan tetapi, saya memasang angan-angan untuk pergi ke konsert Michael Buble sejak dari saya menetap di Perth, Australia Barat. Dari dahulu sehingga sekarang, hanya empat artis yang saya berminat untuk menyaksikan konsert iaitu Backstreet Boys, Mariah Carey. Celine Dion dan MIchael Buble.
Nampaknya rezeki menyebelahi saya untuk menonton konsert Michael Buble pada tahun ini. Kebetulan pada hari beliau adakan konsert, saya tidak melakukan kembara dan suami saya pula bekerja. Yang membuatkan saya berasa bangga dan gembira ialah saya dapat menyaksikan konsert beliau di Vancouver iaitu di sinilah bandar asal beliau. Michael Buble lahir dan dibesarkan di Burnaby, British Columbia. Jarak Burnaby dengan Vancouver hanya beberapa kilometer sahaja. Jadi kerana itulah seluruh penduduk Vancouver tetap menganggap Michael Buble sebagai penduduk Vancouver walaupun rumah beliau sekarang masih di Burnaby.
Di bahagian luar Rogers Arena terdapat sebuah khemah yang menjual pelbagai cenderamata Michael Buble dan di luar pintu masuk pula papan tanda besar yang ditulis ‘Welcome Home Michael’. Seperti yang saya katakan pada awal tadi, saya bukan peminat ‘gila’ Michael Buble. Jika dua kali konsert Backstreet Boys sebelum ini saya beli tiket mahal semata-mata untuk berdiri di hadapan pentas, tetapi konsert Michael Buble saya beli tiket duduk di tingkat atas.
Jika saya tidak mengikuti media sosial Michael Buble, saya tidak tahu yang beliau seorang yang kelakar. Jadi sifat kelakar beliau itu dibawa sehingga ke konsert. Secara keseluruhannya, saya terhibur menyaksikan konsert beliau. Alangkah bagusnya jika beliau dapat menyanyikan lagu hari Krismas popular beliau iaitu It’s Beginning To Look A Lot Like Christmas tetapi saya faham lagu itu hanya dinyanyikan pada musim perayaan sahaja.
Saya akan siarkan video yang dirakamkan sewaktu saya menyaksikan konsert Michael Buble di saluran You Tube Shery On The Move dalam satu atau dua minggu akan datang. Sila subscribe saluran You Tube saya dan tekan butang loceng serta ALL bagi mendapatkan notifikasi terkini sekiranya video baharu saya disiarkan. Link saluran You Tube Shery On The Move diletakkan di bawah di sini. https://www.youtube.com/@SheryNN