Beberapa artikel sebelum ini saya telah siarkan mengenai sahabat saya dan suami dari Singapura yang datang bercuti di Vancouver dan Seattle pada bulan September 2022. Pada awal bulan Oktober 2022 pula, sahabat kami datang (tanpa isteri) sekali lagi ke Seattle kerana urusan kerja. Sementelah saya dan suami tidak melakukan kembara berkereta jarak jauh pada waktu itu, maka kami mengambil keputusan untuk bermalam di Seattle dan dapat membawa sahabat kami berjalan-jalan.
6 Oktober 2022
Pada hari pertama, kami bertiga berjalan-jalan dan makan tengah hari di pusat bandar Seattle dan kemudian menghabiskan waktu petang dan malam di Bellevue. Kami telah pergi makan malam di sebuah restoran Thailand (vegetarian). dan ini merupakan kedatangan kali ketiga bagi dan suami. Anda boleh baca rumusan bergambar mengenai restoran ini melalui artikel yang linknya saya letakkan di bawah ini.
https://sheryonthemove.com/?p=813
7 Oktober 2022
Pada sebelah pagi kami bertiga minum kopi di sebuah kafe di Bellevue dan kemudian pergi ke pasar raya Trader Joe’s. Hampir setiap bulan saya akan membeli barangan di Trader Joe’s kerana pasar raya ini tidak terdapat di Kanada. Sempat juga saya bergambar dengan timbunan labu kerana bulan Oktober dan November ialah musim labu di sini.
Dari Bellevue kami bawa sahabat kami meninjau taman perumahan orang kaya di mana di situ menempatkan rumah mewah Bill Gates. Kemudian kami makan lewat tengah hari di sebuah restoran halal di Renton. Rumusan bergambar mengenai restoran halal ini akan saya siarkan selepas dari artikel ini.
Sebelum pulang semula ke pusat bandar Seattle, kami singgah di lapangan terbang di Renton untuk melihat kapal-kapal terbang yang sedang dalam proses disiapkan. Kami juga berpeluang melihat kapal tebang Boeing yang sedang membuat ujian penerbangan.
Lapangan terbang kedua yang kami singgahi ialah terletak berdekatan dengan pusat bandar Seattle. Di situ kami telah melihat kapal terbang rasmi Timbalan Presiden Amerika Syarikat. Saya sempat membuat carian di Google untuk mengetahui tentang kedatangan Puan Kamala Harris. Walau bagaimanapun jawapan yang saya perolehi ialah kedatangan isteri Presiden Amerika Syarikat iaitu Dr. Jill Biden ke Seattle. Ini bermakna beliau yang telah menaiki kapal terbang Timbalan Presiden. Walaupun kualiti tidak memuaskan tetapi anda boleh lihat gambar kapal terbang itu yang saya kongsikan di dalam artikel ini. Sila lihat gambar enam dari bawah.
Sewaktu saya dan suami hendak menghantar sahabat kami di hotel, suami saya perasan yang terdapat banyak kereta polis serta bomba di sekeliling hotel dan beberapa blok bangunan yang berdekatan. Rupa-rupanya Dr. Jill Biden bermalam di hotel yang sama sahabat kami bermalam. Kata beliau, memang ramai pengawal keselamatan dan polis di dalam bangunan hotel. Anda boleh lihat gambar paling bawah dan dua paling bawah di dalam artikel ini di mana saya rakamkan kereta polis dan bomba di hotel itu.
Dari hotel itu, kami kemudian singgah di sebuah pusat membeli belah sementelah ia masih belum ditutup. Pada awal bulan Oktober sudah banyak dijual barang-barang jualan sempena hari Krismas. Kami pulang semula ke Vancouver, Kanada pada malam itu juga dan selamat sampai rumah pada tengah malam.