Pasar malam terbesar di Amerika Utara terletak di Richmond, British Columbia, Kanada. Richmond Night Market yang terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa vancouver telah diadakan sejak dari tahun 1993. Pasar malam ini tidak beroperasi sepanjang tahun sebaliknya ia diadakan setiap tahun hanya pada musim bunga, musim panas dan sehingga awal musim luruh.
Walaupun kediaman saya terletak tidak jauh dari pasar malam ini tetapi saya tidak pernah pergi ke sana sedangkan saya sudah enam tahun menetap di sini. Niat untuk pergi sentiasa ada setiap tahun, tetapi apabila sudah tiba musimnya, saya tangguhkan pula ke tahun seterusnya. Hanya pada tahun ini, baharu dan dan suami pergi ke Richmond Night Market iaitu pada hari-hari terakhi sebelum pasar malam melabuhkan tirai bagi tahun 2022.
Pengunjung boleh datang menggunakan kenderaan sendiri dan tempat meletak kenderaan adalah percuma. Tetapi perlu diingat bahawa pengunjung perlu beratur panjang dan menunggu lama semata-mata untuk mendapatkan tempat. Pilihan lain ialah dengan datang menaiki pengangkutan awam seperti kereta api (sky train) atau bas tetapi mereka perlu berjalan kaki dalam 10 atau 15 minit untuk sampai ke tapak pasar malam itu.
Tiket untuk masuk ke pasar malam dibagikan kepada dua kategori iaitu tiket satu kali masuk atau tiket untuk beberapa kali masuk pada hari berbeza. Selepas suami saya membayar tiket masuk, petugas telah berikan kepada beliau sehelai t-shirt percuma. Satu kali pembayaran bermaksud hanya satu helai t-shirt percuma. Jika saya tahu lebih awal, lebih baik saya dan suami bayar tiket berasingan jadi saya boleh dapatkan sehelai lagi t-shirt percuma.
Richmond Night Market sebenarnya lebih kepada Chinese Night Market kerana 99.99% peniaga ialah dari kaum Cina dan memang saya rasa seperti berada di pasar malam di Hong Kong, Taiwan dan Malaysia. Melalui pemerhatian saya peniaga minoriti ialah 1 gerai Jepun, 1 gerai Thailand, 1 gerai Filipina dan 1 gerai India.
Sebelum datang ke pasar malam ini, saya dan suami telah melihat senarai gerai dan menu mereka di laman web pasar malam. Jadi kami sudah tahu makanan apa yang ingin dibeli. Kami memilih sotong bakar, sotong goreng dan pemanis mulut iaitu roti ais krim dan teh ais Thailand. Gerai yang menjual sotong ini tidak menjual daging terlarang. Mereka hanya memasak makanan laut sahaja.
Sewaktu berada di pasar malam itu, saya ternampak beberapa orang dewasa perempuan dan lelaki yang memakai cekak rambut kartun Hello Kitty. Oleh kerana saya begitu meminati Hello Kitty, maka saya sanggup menyapa seorang remaja dan bertanya kepada beliau di mana gerai yang menjual cekak rambut itu. Beliau lupa di mana gerai sebenar kedai itu dan hanya menunjukkan arah sahaja, maka saya mengambil keputusan untuk pusing beberapa kali di dua barisan panjang gerai-gerai yang terdapat di situ.
Setelah melakukan carian pusingan terakhir, akhirnya baharu saya nampak cekak yang saya idamkan. Tanpa berfikir dua kali, saya terus beli walaupun saya tahun harganya agak mahal iaitu $7. Mujurlah gerai itu menerima bayaran dari kad kredit. Saya terus pakai cekak itu sehingga pulang ke rumah.
Saya dan suami datang ke pasar malam dan mula berbaris untuk meletakkan kenderaan ialah pada jam 7:52 malam. Kemudian masa yang diambil bagi kami berbaris untuk membeli tiket ialah lebih kurang 12 minit. Waktu kami pulang dan keluar menuju tempat letak kereta ialah pada jam 10:53 malam iaitu 7 minit sebelum keseluruhan pasar malam ditutup. Anda boleh lihat di bahagian bawah artike ini di mana saya kongsikan gambar-gambar dari waktu kami berbaris menuju ke tempat letak kereta, berbaris membeli tiket, makan dan sehingga pulang.
Jika ada kelapangan waktu kami akan pergi lagi ke RIchmond Night Market pada tahun hadapan pula.