Skip to content

Musim Luruh Melawat Ladang Labu (1)

Artikel ini terpaksa saya bahagikan kepada dua bahagian kerana terlalu banyak yang ingin saya ceritakan. Saya mahu anda (terutamanya yang tidak tinggal di negara empat musim) melihat sendiri bagaimana meriahnya musim labu di sini. Musim luruh berkait rapat juga dengan musim labu di Amerika Utara iaitu di Kanada dan Amerika Syarikat dan juga di kebanyakan negara Eropah. Kerana itulah musim luruh juga terkenal dengan pumpkin patch (ladang labu). Pumpkin patch ialah ladang yang mempunyai banyak tanah lot yang menempat labu sama ada ia telah dicabut atau masih lagi di atas tanah.

Ramai orang akan menggunakan labu pada musim ini untuk memasak sup, pai (pumpkin pie), kek, minuman dan selebihnya dibuat ukiran serta hiasan untuk Hari Halloween.Pada bulan September, Oktober dan November, banyak kedai menjual pelbagai produk makanan atau bukan makanan yang berunsurkan labu seperti contoh kedai seperti Bath & Body Works.

Penduduk tempatan biasanya teruja apabila datangnya musim labu kerana mereka dapat pergi ke pumpkin patch dengan membawa keluarga. Anak-anak kecil juga seronok dapat melakukan pelbagai aktiviti di sana. Aktiviti di pumpkin patch bukan terhad kepada mereka yang berkeluarga sahaja malah ia juga menarik perhatian orang dewasa lain walaupun mereka tidak berkahwin atau mempunyai anak.

Satu ladang di Vancouver yang terkenal setiap tahun dengan pumpkin patch terletak berdekatan dengan rumah saya sahaja. Sejak saya berpindah ke Vancouver, saya tidak berminat untuk pergi ke pumpkin patch tetapi pada musim luruh tahun lalu hati saya telah terbuka untuk pergi. Saya membuat perancangan untuk pergi buat pertama kalinya pada musim luruh tahun 2022.

Sebenarnya saya ingin pergi bersama suami kerana senang untuk beliau rakamkan gambar saya di ladang. Oleh kerana kami melakukan kembara di USA setiap bulan sepanjang tahun ini, maka masa untuk saya ke ladang sudah agak terhad. Tidak ada masa yang sesuai untuk saya pergi bersama suami kerana beliau bertugas di luar kawasan. Kerana itulah saya pergi juga seorang diri hanya beberapa hari sebelum ladang itu ditutup kerana habis musim dan beberapa hari sebelum saya lakukan kembara berkereta USA penghujung Oktober pula.

Pada perancangan awal, kalau boleh saya mahu pergi pada hari orang bekerja kerana saya pasti tidak ramai yang datang ke ladang itu. Sama seperti saya pergi ke ladang yang sama pada musim panas sewaktu musim bunga mata hari. Walau bagaimanapun saya terpaksa juga pergi pada hari Ahad kerana waktu saya di Vancouver pada minggu itu sudah terhad dan cuaca pada hari itu pula baik dan tidak hujan.

23 Oktober 2022
Saya pergi ke ladang pada sebelah pagi dengan menaiki bas awam. Walaupun tiba kurang dari 30 minit selepas pintu ladang dibuka, tetapi orang ramai sudah berpusu-pusu berbaris untuk membeli tiket masuk. Dari pondok tiket, pengunjung perlu menaiki wagon untuk melihat labu. Penyanyi di atas wagon itu ialah wanita yang sama yang menyanyi sewaktu saya datang pada musim panas bulan Ogos yang lalu.

Kali ini wagon yang digunakan sangat banyak kerana pengunjung yang begitu ramai pada hujung minggu. Sekali lagi saya nyatakan di sini, ia berbeza sewaktu saya datang pada musim panas untuk melihat bunga matahari. Waktu hari bekerja, hanya satu wagon sahaja yang digunakan untuk mengangkut pengunjung.

Artikel ini tidak berakhir di sini kerana banyak lagi cerita dan gambar yang saya ingin kongsikan kepada anda. Artikel bahagian kedua akan menyusul satu hari selepas artikel bahagian satu disiarkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *