Hari Pertama (28 Oktober 2022)
Hari ini ialah hari pertama kembara Amerika Syarikat (AS) bagi saya dan suami pada bulan Oktober dan November 2022. Jika anda pembaca kerap laman web dan penonton kerap saluran You Tube saya, anda pasti tahu yang kami biasanya memulakan kembara berkereta (road trip) di USA bermula dari Vancouver, Kanada. Walau bagaimanapun ramai yang tidak tahu bahawa kami tidak melakukan road trip pada musim sejuk kerana musim ini tidak sesuai untuk melakukan pemanduan jarak jauh.
Musim sejuk yang saya maksudkan ialah bermula dari musim luruh kerana pada musim luruh salji sudah mulai turun terutamanya di kawasan pergunungan. Inilah faktor utama mengapa kami tidak mahu memandu jarak jauh. Maka kerana itulah pada bulan ini kami mengambil penerbangan terus ke Phoenix, Arizona dan akan memulakan kembara pada hari seterusnya.
Salah satu keuntungan apabila rumah terletak dekat dengan lapangan terbang ialah, saya dan suami tidak perlu bersiap dan keluar terlalu awal. Tetapi, sebagai pengembara dan penerbang kerap (frequent traveller), kami tetap memastikan sampai ke lapangan terbang tiga jam dari waktu penerbangan. Kami keluar rumah pada jam 6:00 pagi dan tiba di bangunan terminal tidak sampai 10 minit kemudian. Seperti yang saya nyatakan tadi, walaupun rumah dekat tetapi kami keluar awal tambahan pula Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver selalu sibuk dan sentiasa tidak cukup petugas.
Seperti biasa kami melakukan daftar masuk 24 jam sebelum penerbangan dengan menggunakan aplikasi syarikat penerbangan Westjet. Apabila sampai di kaunter Westjet, kami terus ke barisan keutamaan untuk meletakkan bagasi. Barisan keutamaan ialah mereka yang membeli tempat duduk hadapan (seperti kelas perniagaan) dan mereka yang berstatus tinggi/taraf penumpang kerap Westjet seperti suami saya.
Perkara utama yang kami tidak suka apabila memulakan penerbangan di lapangan terbang terutamanya penerbangan ke AS kerana petugas di bahagian pemeriksaan keselamatan tidak tidak cukup dan tidak cekap. Kami letakkan bagasi pada jam 6:47 pagi dan terpaksa berbaris hampir dua jam! Kami tiba di pintu berlepas kurang dari 30 minit dari waktu boarding. Beli minuman panas pun terpaksa dibawa masuk ke dalam pasawat kerana waktu yang sangat terhad.
Penerbangan ke AS di Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver berbeza dengan penerbangan antarabangsa yang lain kerana, para penumpang tidak perlu berbaris dan cop passport di lapangan terbang ketibaan sebaliknya mereka berbaris dan cop passport ‘masuk’ ke Amerika Syarikat selepas dari pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang ini. Ini bermakna, kakitangan dari yang US Custom and Border Protection (USCBP) yang duduk di kaunter untuk mengecop passport para penumpang.
Tadi saya nyatakan bahawa masa yang diambil dari tempat meletak bagasi sehingga tiba di pintu berlepas ialah hampir dua jam kerana berbaris panjang dan ketidakcekapan petugas. Walau bagaimanapun, saya ingin memberi pujian terhadap USCBP kerana berkhidmat dengan cekap dan lancar. Masa kami berbaris dan menunggu untuk sampai ke kaunter tidak sampai 10 minit.
Masa penerbangan ialah dua jam lebih dan ianya berjalan dengan lancar. Saya tidak jemu melihat pemandangan di luar kerana ianya berbeza dari satu negeri ke satu negeri yang lain bermula dari sungai, pantai, lautan, gunung ganang, padang pasir, canyon dan bandar besar. Saya dapat rakamkan gambar pusat bandar Phoenix dari dekat sebelum mendarat kerana duduk di bahagian kiri pesawat.
Oleh kerana pemeriksaan passport telah dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver, maka selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sky Harbor, kami terus mengambil bagasi dan menaiki bas percuma untuk ke bangunan terminal kereta sewa. Jarak antara kedua lokasi ini dianggarkan 10 minit pemanduan.
Bangunan terminal kereta sewa ini sangat besar dan boleh disamakan dengan saiz stesen bas atau pusat membeli belah dan terdapat banyak syarikat kereta sewa di dalam bangunan ini. Sewaktu suami saya ke kaunter kereta sewa Hertz, beliau diarahkan oleh petugas untuk naik ke tingkat atas kerana di situ menempatkan kaunter untuk pelanggan kerap Hertz. Oleh kerana suami saya ialah ahli Hertz bertaraf dan status paling tinggi, maka kerana itulah beliau diarahkan untuk ke tingkat atas.
Apabila kami sampai di tingkat atas, terdapat skrin besar seperti skrin berlepas dan mendarat di lapangan terbang yang menunjukkan nama ahli-ahli Hertz yang akan mengambil kereta di situ. Petugas yang berdiri di skrin dengan pantas beritahu kepada suami untuk terus ambil sahaja kereta yang disukai. Tambah beliau, kunci kereta memang sudah ada di dalamnya. Saya ketawa seketika kerana situasi sebegini seolah-olah seperti hendak ‘mencuri ‘ kereta pula.
Suami memberi peluang untuk saya memilih kereta, maka saya mencari kereta yang belum pernah saya naiki iaitu Ford Explorer. Suami saya pernah memandu kereta ini tetapi model yang terdahulu. Jika melakukan kembara jarak jauh, kami memang memilih kereta SUV kerana saiznya yang besar dan dapat meletakkan bagasi kami yang banyak.
Sebelum keluar dari tempat meletak kenderaan, baharu kami pandu lalu di kaunter kereta sewa (seperti plaza tol) dan di situ baharu petugas memasukkan data pelanggan dan memberi resit.
Saya akan siarkan video penerbangan dari Vancouver ke Phoenix dan di saluran You Tube Shery On The Move tidak lama lagi dan turut akan tunjukkan kepada anda video yang saya rakamkan sewaktu berada di tingkat atas kaunter Hertz dan mengambil kereta ‘sesuka hati’. Anda boleh subscribe saluran You Tube saya melalui link di sini. https://www.youtube.com/@SheryNN