Skip to content

Phoenix – Ibu Negeri Arizona

28 Oktober 2022
Phoenix
Selepas saya dan suami selamat mendarat di Phoenix dari Vancouver, kami telah melawat ke bangunan pentadbiran kerajaan negeri Arizona. Ia terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sky Harbor dan dianggarkan hanya 10 minit waktu pemanduan. Tidak ada istilah musim luruh di Phoenix kerana cuacanya yang panas dengan suhu lebih kurang 30 darjah Celsius.

Ini ialah kedatangan kali ketiga saya ke Phoenix tetapi sudah beberapa kali bagi suami. Walaupun sebelum ini saya pernah datang ke Phoenix tetapi baharu kali ini saya berkesempatan untuk melawat ke bangunan pentadbiran kerajaan negeri. Sudah menjadi kewajipan bagi kami untuk datang bergambar di hadapan bangunan pentadbiran di setiap negeri yang dilawati di Amerika Syarikat.

Kami bukan sahaja bergambar di hadapan bangunan pentadbiran tetapi juga di kawasan persekitaran yang mempunyai banyak tugu peringatan perang. Tidak susah bagi pelawat meletakkan kenderaan kerana tempat khas terletak hanya di seberang jalan dari bangunan pentadbiran.

Sewaktu di dalam pemanduan untuk pergi ke hotel penginapan di Tempe, kami telah pandu lalu di dalam pusat bandar Phoenix. Satu perkara yang memeranjatkan saya ialah sudah tidak ada Hard Rock Cafe (HRC). Kami pernah ke HRC di Phoenix dan dapat membeli cenderamata pada sepuluh tahun yang lalu.

Anda boleh baca artikel dan melihat gambar-gambar mengenai penerbangan yang saya naiki dari Vancouver ke Phoenix melalui link di bawah ini. https://sheryonthemove.com/?p=5810

Tempe
Selepas daftar masuk hotel, berehat dan mandi, saya dan suami keluar dengan misi untuk membeli beg membeli belah pakai semula dari pasar raya Trader Joe’s. Yang menariknya mengenai beg ini ialah rekaannya yang berbeza dari setiap bandar yang mempunyai cawangan Trader Joe’s. Rekaan itu menunjukkan kecantikan dan pemandangan di setiap bandar cawangan Trader Joe’s beserta dituliskan nama bandar sekali. Saya mula mengumpul beg ini sejak melakukan kembara berkereta pada musim panas yang lalu.

Beg membeli belah ini sentiasa laris dan cepat kehabisan stok. Di cawangan pertama, petugas dengan baik hati telah membantu saya mencari sehingga ke dalam stor tetapi semuanya telah habis. Ia menyebabkan kami memandu lebih kurang 15 minit untuk ke cawangan kedua semata-mata untuk membeli beg ini. Selepas misi membeli beg berjaya, baharu kami pergi makan malam di restoran kegemaran iaitu Red Lobster.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *