Skip to content

Pemanduan Dari Tempe Ke Winslow

Hari Ke-2 (29 Oktober 2022)
Kembara hari kedua ialah pemanduan dari Tempe, Arizona menuju ke Albuquerque, New Mexico. Jarak antara kedua buah bandar ialah 660 kilometer dan jika pemanduan dilakukan tanpa henti ia mengambil masa selama 6 jam 30 minit (bergantung waktu trafik semasa).

Oleh kerana kami berhenti beberapa kali di tempat-tempat menarik di sepanjang perjalanan, maka saya terpaksa bahagikan artikel ini kepada dua bahagian. Untuk artikel ini ia mengenai pemanduan dari Tempe ke Winslow, Arizona.

Pemanduan kami bermula dari hotel Double Tree by Hilton Tempe pada jam 5:50 pagi. Anda boleh baca artikel mengenai hotel ini melalui link di bawah.
https://sheryonthemove.com/?p=5981

Satu perkara utama yang menerujakan saya dan suami pada hari kedua ialah kerana ini pemanduan ‘balik kampung’. Kami pernah menetap di New Mexico dan laluan serta lebuh raya yang kami gunakan dari Tempe ke Albuquerque adalah yang sudah biasa kami lalu sebelum ini. Bermula dari hari kedua sehingga beberapa hari seterusnya kami akan bermalam di beberapa buah bandar di negeri ini.

Dari Tempe ke Flagstaff, kami memandu bertemankan pemandangan indah pokok kaktus di kiri dan kanan lebuh raya sama ada ianya terletak di tanah rendah atau di atas bukit. Semuanya besar-besar belaka. Lebih kurang satu jam sebelum sampai di Flagstaff, keadaan geografi berubah kerana daripada bukit dan gunung ganang padang pasir (desert) yang dipenuhi kaktus telah bertukar kepada gunung ganang berpokok.

Oleh kerana pemanduan ini ialah dua hari sebelum hari Halloween, maka papan tanda amaran lalu lintas juga berbaur jenaka. Anda boleh baca papan tanda yang saya rakamkan di lebuh raya itu melalui gambar ke-12 dari atas artikel ini.

Flagstaff
Masa pemanduan dari Tempe ke Flagstaff ialah 2 jam 10 minit (mengikut trafik semasa pada waktu itu). Flagstaff memang terkenal dengan kawasan pergunungan bersalji. Bandar ini menjadi tumpuan pelancong datang bercuti apabila tibanya musim sejuk. Seperti yang saya katakan pada awal tadi, lebuh raya I-40 sudah biasa kami lalu jadi Flagstaff juga sudah biasa kami singgahi.

Di Flagstaff, kami pergi ke pasar raya Target untuk membeli minuman pagi di Starbucks. Suhu menurun kepada 0 dajah Celsius dan jauh bezanya dengan suhu di Phoenix.

Dari Target, kami berhenti pula di stesen kereta api terkenal di Flagstaff yang terletak di jalan raya bersejarah iaitu Route 66. Saya pernah mengambil gambar di stesen ini sewaktu pada 11 tahun lalu sewaktu pertama kali datang ke Flagstaff.

Flagstaff Ke Winslow
Masa pemanduan dari Flagstaff ke Winslow mengambil masa lebih kurang 55 minit sahaja. Sewaktu memandu di dalam kereta, kami dapat mendengar salah satu radio tempatan yang dikhaskan dalam bahasa kaum asli Amerika sahaja. Sebenarnya ia tidaklah memeranjatkan kerana kami pernah mendengar stesen radio itu sebelum ini.

Kami berhenti pula di Winslow untuk mengambil gambar di jalan raya bersejarah Route 66. Kali terakhir saya dan suami datang ke Winslow ialah pada tahun 2015. Walaupun pada waktu itu sudah banyak gambar dan video yang dirakamkan, tetapi kali ini kami mahu memperbaharui semua gambar dan video yang lama itu.

Masa yang kami luangkan di simpang besar bersejarah ini dan kawasan berdekatan dengannya ialah 45 minit. Suami juga sempat berbual dengan salah seorang pelancong tempatan yang turut singgah di tempat yang sama.
Jangan terpedaya dengan cuaca yang terang benderang ini kerana cuacanya masih lagi sejuk. Di Winslow suhunya dianggarkan 5 atau 8 darjah Celsius.

Artikel bahagian kedua yang sama menariknya akan disiarkan selepas ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *