Skip to content

Pemanduan Dari Winslow Ke Albuquerque

Artikel ini bersambung dari bahagian sebelumnya. Anda akan ketinggalan sekiranya tidak baca dari artikel pertama. Link artikel pertama diletakkan di sini. https://sheryonthemove.com/?p=6019

Hari Kedua (29 Oktober 2022)
Dari Winslow, pemanduan diteruskan ke Holbrook yang mengambil masa 35 minit sahaja. Holbrook juga pernah kami lawati pada kembara berkereta tahun 2015. Walau bagaimanapun tempat ini wajib dilawati berkali kali. Sekiranya anda berminat untuk datang ke Holbrook, jangan lupa berhenti dan mengambil gambar di Wigwam Motel.

Keunikan motel ini ialah kerana reka bentuk luarannya yang berbentuk kon tiga segi. Ia sebenarnya diberi nama tipi. Perkataan tipi berasal dari bahasa kaum asli Amerika. Pada zaman dahulu, banyak puak kaum asli Amerika membina tipi sebagai khemah memburu. Jadi kerana itulah motel di sini membina replika tipi sebagai bilik tidur tetamu. Kereta-kereta lama yang diletakkan di luar motel memang sudah lama dijadikan hiasan untuk tarikan para pelancong.

Houck
Persinggahan seterusnya ialah di Houck, Arizona di mana ia terletak sudah tidak jauh dari sempadan negeri New Mexico. Kami singgah di Houck kerana ingin melihat cenderamata yang dijual di kedai-kedai di situ. Sudah banyak kali kami pernah pandu lalu di hadapan kedai-kedai jualan di Houck tetapi kami belum pernah berhenti sebelum ini. Oleh kerana pemanduan hari itu tidak mengejar masa, maka kami mengambil peluang singgah seketika.

Houck terletak di atas tanah pentadbiran kaum asli Amerika iaitu Navajo Reservation. Kerana itu juga, pemilik perniagaan dan pekerja di situ semuanya dari kaum asli Navajo. Saya tidak rakamkan gambar di dalam kedai pertama Indian City kerana saya rasakan terlalu ekslusif seperti butik dan pada waktu saya datang, tidak ada pelanggan lain. Saya hanya rakamkan gambar di dalam tandas yang dilihat seperti saya berada di dalam filem ‘cowboy’ zaman dahulu.

Indian City menjual banyak cenderamata yang berunsurkan kaum asli Amerika. Harga barang memang agak mahal kerana ia adalah buatan tangan dari kaum asli sendiri. Di satu sudut lain pula terdapat satu kafe kecil yang menjual makanan serta ais krim berharga murah. Ingin saya nyatakan di sini bahawa Indian yang di maksudkan bukan orang dari India tetapi ia membawa maksud kaum asli Amerika Syarikat (Native American).

Kedai kedua yang kami masuk ialah Chee’s Indian Store. Di kedai ini saya ada rakamkan gambar dan video. Walaupun kedai ini dilihat kecil dari luar tetapi di dalamnya agak besar juga. Saya turut membeli sedikit cenderamata di kedai Chee’s.

Sebelum menyambung pemanduan, saya dan suami telah membeli fry bread makanan tradisi kaum asli Navajo. Ia adalah roti kosong yang nipis yang boleh dimakan begitu sahaja atau boleh ditabur gula. Rasanya seakan-akan kuih cakoi bulat berinti kacang merah yang ada dijual di Malaysia atau Singapura.

Menuju Ke Gallup
Jarak antara Houck dan sempadan negeri New Mexico ialah 14 kilometer. Kami tidak berhenti untuk mengambil gambar papan tanda selamat datang ke negeri New Mexico kerana lebuh raya yang sibuk pada waktu itu. Walau bagaimanapun kami pernah mengambil gambar di tempat yang sama 11 tahun lalu. Jarak antara Houck dan Gallup pula ialah 42 kilometer.

Gallup, New Mexico
Walaupun sudah banyak kali saya dan suami pandu lalu di Gallup melalui jalan lebuh raya, tetapi ini kali kedua kami memandu di Gallup mengikuti jalan raya Route 66. Seperti biasa, di mana-mana pekan kecil atau bandar di Route 66, kebanyakan bangunannya masih mengekalkan seni bina lama dan begitu juga di Gallup.

Di dalam banyak bangunan lama di Gallup, ada sebuah bangunan moden yang terletak di situ. Ia adalah Gallup Islamic Center. Selain tempat untuk bersembahyang, pihak pentadbiran turut mengadakan kelas agama. Sewaktu kami masuk ke pekarangan tempat meletak kereta, kami melihat beberapa kanak-kanak yang baharu keluar sambil menggalas beg masing-masing.

Gallup Ke Albuquerque
Dari Gallup, kami singgah pula di Jamestown untuk mengisi minyak kereta dan seterusnya menyambung pemanduan ke Albuquerque. Kami selamat tiba di hotel pada jam 5:33 petang.

Seperti yang saya nyatakan di dalam artikel pertama, pemanduan hari kedua ini ibarat seperti balik kampung. Walaupun kami tidak dapat singgah di bandar tempat kami pernah menetap dahulu, tetapi apabila dapat meluangkan masa di Houck dan makan fry bread, dapat juga melepaskan rindu kerana di Houck kami bersemuka dengan ramai kaum asli. Tempat kami menetap dahulu juga ramai kaum asli dari puak yang sama iaitu Navajo.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *