Skip to content

Snow Day Di Oregon, Amerika Syarikat

23 Februari 2023
Seperti kebiasaan, perancangan untuk pergi mengembara atau bercuti kemana-mana pasti saya dan suami lakukan pada minit-minit terakhir. Begitu juga pada pagi hari 23 Februari di mana tiba-tiba suami mengajak untuk pergi ke Portland, Oregon. Setelah melihat cuaca di sana dalam keadaan baik, kami mula mencari hotel penginapan dan seterusnya mengemas pakaian yang cukup untuk tiga hari dua malam.

Kami melepasi sempadan darat antarabangsa lebih kurang jam 3:00 petang. Seperti yang saya katakan tadi, cuaca memang baik di sepanjang pemanduan.
Akan tetapi, sebaik sahaja masuk ke bandar Portland, kami begitu terkejut sehingga tidak terkata apa-apa. Salji yang ada di sepanjang jalan raya sangat tebal. Terlalu banyak kenderaan yang tersadai, rosak dan terbalik di tepi jalan akibat dari salji tebal itu.

Kami melihat tidak banyak kenderaan yang bergerak pada malam itu kecuali kenderaan dari pasukan keselamatan. Pemanduan dari Portland menuju ke hotel pada malam itu mengambil masa yang agak lama kerana kami memandu di bawah had kelajuan. Seperti yang saya katakan pada awal tadi, kami telah melihat ramalan kaji cuaca untuk beberapa hari akan datang dan semuanya dalam keadaan baik.

Walaupun cuaca dalam keadaan baik, rupa-rupanya kami datang satu hari selepas terjadinya ribut salji. Petugas hotel beritahu kami bahawa penduduk di Portland sudah berpuluh atau berbelas tahun tidak menjadi mangsa ribut salji. Hari yang kami tiba ialah Snow Day. Ia memberi maksud penduduk mendapat cuti umum. Tidak ada orang yang pergi bekerja,murid-murid tidak pergi ke sekolah dan semua perniagaan ditutup kerana bahaya bagi mereka untuk keluar melakukan urusan dan di dalam waktu yang sama Snow Day memudahkan petugas-petugas untuk membersihkan jalan raya dan mencairkan salji dan ais di atas permukaan jalan terutamanya di lebuh raya dan jalan-jalan utama.

Kerana itulah, kami melihat persekitaran bandar pada malam yang kami tiba ibarat seperti bandar mati. Selepas melakukan daftar masuk hotel, jam menunjukkan hampir 9:30 malam. Kami keluar juga untuk mencari makan malam tetapi malangnya semua kedai tutup kecuali restoran makanan segera McDonalds. Melalui perkhidmatan pandu lalu, kami telah memesan set burger ikan. Apabila kami makan di dalam bilik hotel, baharu kami melihat perkembangan terkini mengenai ribut salji ini melalui berita di televisyen.

24 Februari 2023
Cuaca pada hari kedua sangat baik, dan terang benderang dengan suhu sekitar -10 darjah Celsius. Aktiviti yang kami lakukan sama seperti penduduk tempatan iaitu pergi membeli belah barang dapur dan rumah yang tidak terdapat di pasar raya di Kanada dan sekadar jalan-jalan cari makan. Di bawah ini saya kongsikan gambar-gambar pemandangan dengan salji yang memutih dan langit membiru. Anda boleh lihat permukaan jalan raya yang masih diselaputi ais yang tebal dan keras. Saya turut tunjukkan dengan anda gambar tiga pasang kasut musim sejuk (winter boots) yang saya bawa dan ia saya padankan dengan tiga jaket berbeza.

25 Februari 2023
Meskipun sudah banyak kali kami pergi ke Portland sebelum ini, tetapi kami tidak pernah bertolak pulang pada awal pagi. Walau bagaimanapun ia berbeza pada kali ini kerana kami melakukan daftar keluar hotel pada jam 4:00 pagi Tujuan kami pulang awal ialah kerana kami ingin mengelak dari menempuh salji yang bakal turun yang bermula dari utara negeri Washington (sempadan antarabangsa) sehingga ke Vancouver, Kanada.

Tiga gambar pertama di bawah dirakamkan setelah tiba di Seattle pada jam 6:50 pagi dan selepas itu kami singgah dan Bellingham dan Birch Bay untuk membeli sedikit barang dan minum lewat pagi di kedai kegemaran kami iaitu Woods Coffee.

Saya akan siarkan video yang dirakamkan pada hari pertama (Snow Day) dan hari kedua di saluran You Tube Shery On The Move tidak lama lagi. Sekiranya anda belum mengikuti saluran saya, anda boleh ikuti dan subscribe melalui link di bawah ini. https://www.youtube.com/@SheryNN/featured

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *