Skip to content

Elk Island National Park, Alberta

Kedatangan saya ke Edmonton, Alberta pada bulan Mac yang lalu adalah kerana percutian musim sejuk. Akan tetapi, suami saya pula datang ke Edmonton kerana urusan kerja. Oleh kerana di pertengahan minggu suami saya mendapat satu hari cuti, maka kami melakukan perancangan di minit terakhir untuk ke Taman Negara Pulau Elk yang terletak lebih kurang 49 kilometer dari Edmonton.

Kami keluar dari hotel pada sebelah pagi dan masa pemanduan hanya mengambil masa 40 minit sahaja. Melalui maklumat yang saya baca, taman negara ini merupakan ‘rumah’ kepada haiwan bison. Walaupun kami sudah pernah melihat bison liar di Amerika Syarikat, tetapi kami tetap teruja ingin melihatnya lagi.

Taman Negara Pulau Elk adalah bersaiz besar dan mempunyai beberapa tasik.
Sewaktu kunjungan saya dan suami pada lewat musim sejuk, semua tasik itu masih beku dan diselaputi salji yang sangat tebal. Dalam cuaca sejuk, berangin dan suhu di bawah paras beku, kami tetap keluar bergambar di hadapan tasik itu.

Semasa memandu di dalam taman negara, kami dapat juga melihat beberapa ekor bison dari tepi jalan raya. Melalui gambar empat dan lima dari atas, anda dapat lihat bison yang saya rakamkan dari arah jauh.

Satu perkara yang menghampakan apabila memasuki taman negara ini ialah, ia tidak dijaga oleh pihak berkuasa/ranjer bermula dari pintu masuk hingga ke pintu keluar. Pelawat seperti kami diibaratkan seperti terbiar. Jika mereka anggap pelawat tidak ramai yang datang pada musim sejuk, lebih baik mereka tutupkan sahaja untuk beberapa bulan. Keadaan seperti ini tidak pernah saya lihat apabila memasuki mana-mana taman negara di Amerika Syarikat.

Sekiranya anda berminat untuk datang ke Taman Negara Elk, saya cadangkan datang pada musim bunga dan panas. Bagi saya dan suami, kedatangan kami ke sini mungkin yang pertama dan terakhir. Kami lebih suka dan senang pergi melawat ke taman-taman negara di Amerika Syarikat.

Anda boleh tonton video penuh percutian saya ini di dalam saluran YouTube Shery On The Move. Link video saya letakkan di bawah.
https://youtu.be/B7WjAZKHug8

Sebelum pulang semula ke Edmonton, kami singgah sebentar di Fort Saskatchewan yang jaraknya dengan Taman Negara Pulau Elk ialah 42 kilometer.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *