Ini ialah artikel bahagian kedua pemanduan dari Montana ke South Dakota. Sila baca dahulu artikel bahagia pertama bagi mendapatkan cerita sepenuhnya.
Pemanduan Dari Montana Ke South Dakota (1) – Shery On The Move
Cuaca baik tidak menyebelahi kami pada hari pemanduan ini kerana sepanjang hari awan kelabu, mendung dan hujan di kebanyakan tempat. Walau bagaimanapun, ia tidak menghalang dari saya untuk mengambil gambar dan berhenti di tempat-tempat menarik. Saya pasti ramai pengembara berkereta yang tidak mempunyai minat yang sama seperti cara saya mengambil gambar. Sejak dari dahulu lagi saya gemar mengambil gambar papan-papan tanda di tepi jalan serta juga rumah dan bangunan lama yang masih diduduki atau yang terbengkalai, sudah uzur dan ditinggalkan.
Melalui gambar di bawah, anda boleh lihat papan-papan tanda yang dirakamkan dan dari situ anda dapat mengetahui di mana saya berada dari semasa ke semasa. Satu lagi kelebihan apabila memandu di perkampungan atau pekan kecil orang asli (native American) ialah, saya dan pengembara yang lain dapat melihat mural yang dihasilkan oleh penduduk tempatan.















Walaupun saya dan suami telah melakukan kembara berkereta di Amerika Syarikat sejak dari tahun 2012, tetapi pada tahun awal tahun 2020 baharu kami mula berhenti di pejabat pos (United Stated Post Office) untuk mengambil gambar. Selepas dari pandemik, kami menyambung semula kembara di Amerika Syarikat dan kembali dengan memasukkan aktiviti bergambar di pejabat pos. Mengapa pejabat pos menjadi pilihan kami untuk bergambar?
Sebenarnya, kami tidak memilih atau terlalu cerewet dalam memilih pejabat pos yang ingin kami berhenti. Pada awal tahun 2020, buat pertama kalinya kami tertarik untuk bergambar di pejabat pos adalah kerana ia terletak di sebuah pulau kecil di negeri Washington. Ia bukan tempat pelancong dan saya anggap gambar itu adalah gantian kepada cenderahati yang boleh saya simpan untuk selamanya. Selepas dari itu, di dalam kembara berkereta, kami berhenti di pejabat-pejabat pos yang kami rasakan unik kerana setiap daripadanya mempunyai bentuk bangunan dan seni bina yang berbeza.
Kami lebih suka berhenti di pejabat pos di kawasan pedalaman atau di pekan-pekan kecil. Yang penting sekali bangunan pejabat pos itu mesti mempunyai alamat dan poskod kerana ialah bukti penting tanda kami telah jejakkan kaki di situ. Suka saya beritahu di sini bahawa kami tidak akan pergi ke pejabat pos yang di luar dari laluan pemanduan kami. Selalunya kami nampak di tepi jalan atau kalau kami mencari sekalipun, ia masih ia tidak jauh dari jalan besar contohnya pejabat pos di Judith Gap, Montana.







Cuaca yang muram membuatkan gambar juga tidak seterang yang diinginkan. Saya berharap anda berpuas hati dengan sedikit pengalaman dari pemanduan kami ini. Artikel bahagian ketiga iaitu yang terakhir akan menyusul tidak lama lagi dan pemanduan kami akan beralih dari negeri Montana ke dua buah negeri yang seterusnya.
