Artikel ini ialah bahagian ketiga dan terakhir mengenai kembara berkereta pemanduan dari negeri Montana ke negeri South Dakota. Anda diminta untuk membaca dahulu artikel sebelumnya bagi mendapatkan keseluruhan cerita.
Bahagian 1
https://sheryonthemove.com/?p=7213
Bahagian 2
https://sheryonthemove.com/?p=7236
Untuk artikel bahagian ketiga ini, gambar-gambar yang dirakamkan pada siang hari masih lagi di negeri Montana, dan pada sebelah lewat petang di pula di negeri Wyoming, seterusnya negeri terakhir iaitu South Dakota kami tiba pada sebelah malam. Setelah memandu dari awal pagi dan berhenti di beberapa perkampungan kecil, akhirnya kami tiba di bandar paling besar di negeri Montana iaitu Billings. Walaupun kami pernah datang ke Billings, tetapi ini pertama kali kami singgah di lapangan terbangnya.
Di dalam artikel bahagian kedua, saya ada menceritakan kepada pembaca mengenai minat saya dan suami untuk berhenti dan bergambar di hadapan pejabat pos. Ada satu lagi yang tempat yang biasa kami singgah dan dijadikan rutin sewaktu melakukan kembara berkereta iaitu, lapangan terbang. Mengapa lapangan terbang?
Ramai yang masih tidak boleh membezakan antara kembara dan melancong serta pengembara dan pelancong. Untuk maklumat anda, saya dan suami tidak pernah meletakkan diri sebagai pelancong. Kami ialah pengembara yang melakukan kembara berkereta jarak jauh dan perspektif kami di dalam mengembara sangat berbeza dari orang lain. Sebagai pengembara, kami tidak hanya fokus untuk melihat tempat-tempat yang cantik atau tumpuan pelancong. Kami sentiasa meletakkan diri sebagai penduduk tempatan tidak kira sama ada pada waktu itu kami berada di bandar besar atau di kawasan pedalaman.
Suami saya seorang juru terbang, bekas tentera dan polis dan saya pula bekas pramugari. Oleh kerana bidang ini sudah sebati di dalam diri kami, maka kerana itulah lapangan terbang menjadi tumpuan kami.
Tidak kira lapangan terbang besar atau kecil, kami akan berhenti masuk ke terminal atau kadang kala hanya pandu lalu. Tinjauan yang biasa kami lakukan di lapangan terbang biasanya ialah melihat kepelbagaian model kapal terbang, harga meletakkan kenderaan, jumlah penerbangan harian, seni bina bangunan, kebersihan di dalam bangunan terminal dan tandas awam.
Kami tidak terhad untuk singgah di lapangan terbang komersial, tetapi kami juga selalu pergi ke pengkalan tentera. Umum sedia maklum bahawa pengkalan tentera bukan untuk dibuat lawatan, tetapi kami biasanya pandu lalu di kawasan yang dibenarkan sahaja. Suami saya mengenali jenis-jenis kapal terbang tentera dan saya juga selalu dapat rakamkan gambar dan video sewaktu kapal terbang itu sedang membuat penerbangan atau pendaratan sama ada di lapangan terbang atau kami lihat sewaktu kami sedang memandu.
Sekadar maklumat tambahan, pejabat pos dan lapangan terbang bukan hanya dua tempat yang kami singgah sewaktu pemanduan, tetapi sebenarnya banyak tempat lain contohnya pejabat pentadbiran kerajaan, hospital, balai bomba, pasar raya dan bermacam-macam lagi.






Sebelum memasuki negeri seterusnya, kami memandu lalu di Crow Country. Adakah anda rasa nama tempat ini unik? Crow Country ialah tanah simpanan orang asli Amerika puak Crow (native American) yang terletak di Montana dan bersebelahan dengan sempadan negeri Wyoming. Tanah simpanan Crow merupakan terbesar antara tujuh tanah simpanan lain di negeri ini.

Bandar pertama yang kami lalu sebaik sahaja memasuki negeri Wyoming ialah Sheridan. Ini merupakan kali kedua kami datang ke Sheridan tetapi kedua-duanya hanya persinggahan sahaja. Saya rakamkan beberapa gambar semasa memandu di Sheridan sementelah hari belum hujan.








Seperti yang saya nyatakan pada artikel sebelum ini, cuaca baik tidak menyebelahi kami pada hari pemanduan. Kami kerap menempuhi hujan lebat dan ia telah menghadkan saya untuk mengambil gambar. Akan tetapi, apabila keadaan tidak mengizinkan untuk mengambil gambar, saya tukar kepada rakaman video pula. Anda boleh tonton video penuh selama 8 minit dari awal pemanduan sebelah pagi dari berakhir pada sebelah malam yang telah disiarkan di saluran YouTube Shery On The Move.
https://youtu.be/iOdyz5nfZ-8?si=_acGGo82WnfwdZgE

Setelah hampir 18 jam pemanduan, kami akhirnya selamat sampai di hotel di Rapid City, South Dakota.
Terima kasih kerana membaca ketiga-tiga artikel pemanduan saya ini. Waktu yang anda luangkan adalah sangat dihargai. Kembara ini baharu masuk hari ketiga dan mempunyai lebih dari sepuluh hari lagi untuk berakhir.
Sekiranya anda tidak mahu ketinggalan apabila artikel baharu saya disiarkan, saya menggalakkan anda untuk melanggan secara percuma. Sila pergi ke laman utama (home) Shery On The Move dan letakkan
alamat e-mel di bahagian subscribe. Selepas menekan butang subscribe, anda akan terima artikel baharu saya terus dari peti masuk e-mel.
