Pada hari ke empat kembara berkereta, saya dan suami telah melakukan lawatan satu hari ke Taman Negara Badlands. Akan tetapi, artikel kali ini ialah mengenai persinggahan kami di sebuah pekan kecil yang bernama Wall. Populasi penduduk di Wall yang dikira sehingga tahun 2020 ialah 699 orang.
Walaupun pekan kecil, tetapi Wall menarik kedatangan pelancong setiap hari dan sepanjang tahun. Kebanyakan dari mereka datang ke Wall ialah kerana membuat persinggahan sebelum atau selepas melawat ke Taman Negara Badlands. Ada ramai juga yang singgah berhenti semasa melakukan pemanduan kembara berkereta yang menggunakan lebuh raya berdekatan.


Sebaik sahaja tiba di Wall, tanpa dirancang, kami masuk ke kedai motosikal Harley Davidson. Saya dan suami bukanlah peminat motosikal tetapi pernah beberapa kali masuk ke kedai Harley Davidson hanya untuk meninjau pameran motosikal di dalam bangunan. Harley Davidson di Wall dipanggil Badlands kerana Wall terletak sudah tidak jauh dari Taman Negara Badlands. Layanan dari pekerja sangat memuaskan dan suami saya telah beli beberapa helai baju dengan rekaan yang sangat cantik dan menarik.







Tujuan utama kami membuat persinggahan di Wall adalah kerana ingin datang ke Wall Drug Store. Apa yang menarik dengan Wall Drug Store? Kerana ianya terlalu istimewa, maka saya akan siarkan artikel yang berasingan di dalam beberapa minggu akan datang.


Sebelum menyambung pemanduan, kami singgah untuk mengambil gambar sebuah replika arnab (jack rabbit) bersaiz gergasi. Kami telah disapa oleh penduduk tempatan yang peramah yang mencadangkan supaya kami masuk ke dalam arnab dan naik ke tingkat atas kerana ia baharu siap dibina. Setelah beberapa minit berada di situ, baharu kami tahu bahawa tempat ini ialah milik perniagaan mengukir kayu.







Untuk melihat pemandangan sewaktu pemanduan dari hotel saya menginap menuju ke Wall, pemandangan di dalam Wall Drug Store, dan pemandangan di anjung tinjau kepala arnab, anda mesti tonton video yang telah saya muat naik di saluran YouTube Shery On The Move. Sila klik alamatnya di bawah ini;
https://youtu.be/1oPwRsNYL5E?si=Ktjb1yH14jJxmsnm
