Ramai yang sudah mengetahui mengenai kecederaan dalaman lutut yang saya alami sejak beberapa bulan yang lalu. Akan tetapi, masih ramai juga yang tidak mengetahuinya. Untuk pengetahuan anda, saya jatuh di atas gelanggang ais sewaktu saya menghadiri kelas luncur ais pada 24 November 2021 iaitu dua minggu sebelum kelas luncur ais musim luruh itu berakhir. Apa yang saya lakukan sebelum pergi membuat ujian Xray?
25 November – Menjalani sesi fotografi.
26 November – Sambutan hari ulang tahun saya. https://sheryonthemove.com/?p=645
27 November – Saya tidak dapat berjumpa dengan doktor kerana jadual beliau sudah penuh.
28 November – Temu janji dengan doktor yang biasa saya jumpa. Apabila beliau melihat dan memegang lutut saya, beliau mengatakan ia akan pulih dalam beberapa minggu. Sementara itu, beliau tetap mengeluarkan surat untuk saya pergi melakukan ujian x-ray bagi mendaptkan kepastian yang lebih.
29 November – Melakukan ujian x-ray.
30 November atau 1 Disember – Doktor menelefon mengatakan ujian x-ray sudah diterima. Saya mengalami soft tissue injury.
Kecederaan dalaman ini akan pulih begitu sahaja tanpa perlu mengambil ubat-ubatan.
Apa yang ingin saya ceritakan di sini ialah kisah mengenai satu hari selepas saya jatuh di atas gelanggang ais. Pada 25 November, saya menghadiri sesi fotografi di sebuah kolej di Vancouver di mana saya bekerja sama dengan seorang juru gambar untuk projek beliau.
Tarikh untuk sesi fotografi telah lama dibuat maka saya tidak mahu membatalkannya hanya kerana saya jatuh. Seperkara lagi beliau telah pun menukar dua kali tarikh untuk menggunakan studio. Walaupun saya sudah mulai rasa kesakitan serta kebas pada lutut kanan, lenguh satu badan dan saya mulai jalan tempang dan senget, tetapi juru gambar tidak menyedari. Saya cuba ‘berlakon’ seperti tidak ada apa-apa terjadi kerana saya tidak mahu beliau berasa bersalah. Saya memberitahu beliau yang saya jatuh hanya selepas sesi fotografi berakhir.
Dua gambar di bawah dirakamkan di kolej oleh juru gambar tersebut.
Oleh kerana minat terhadap dunia peragaan dan modeling sudah sebati di dalam diri saya sejak kecil lagi, maka perkara yang susah itu dapat saya harungi. Susah yang saya maksudkan ialah saya terpaksa menahan lenguh kaki apabila berdiri lebih kurang dua jam dengan kasut bertumit tinggi dengan kondisi saya yang mengalami kecederaan lutut kanan. Jika tidak mengalami kecederaan, saya tidak ada masalah untuk berdiri lama dengan kasut bertumit tinggi.
Apa-apa pun, saya gembira melihat gambar-gambar ini dan berbangga dengan usaha saya dalam menjayakan projek juru gambar walaupun pada waktu itu saya mengalami kecederaan dalaman lutut.