Skip to content

Las Vegas-Medford-Salem-Vancouver

Artikel ini ialah mengenai dua hari terakhir kembara berkereta (road trip) USA bulan Ogos/September 2022. Anda boleh baca artikel sebelum ini bagi mendapatkan keseluruhan dan rumusan penuh kembara. Link diletakkan di bawah ini.
San Francisco Ogos/September 2022 https://sheryonthemove.com/?p=4927
Las Vegas September 2022 https://sheryonthemove.com/?p=5097
Homewood Suites by Hilton Las Vegas Airport https://sheryonthemove.com/?p=5099

7 September 2022
Pemanduan hari kelapan bermula pada jam 4:45 pagi dari Las Vegas menuju ke Medford, Oregon dengan jarak 1201 kilometer yang dikira dari hotel di Las Vegas hingga ke hotel di Medford. Jika pemanduan dilakukan tanpa henti, ia mengambil masa 12 jam 20 minit. Bagi pemanduan saya dan suami pula jumlah masa pemanduan kami ialah 20 jam 10 minit termasuk empat kali membuat persinggahan pendek untuk mengisi minyak kereta, membeli minuman dan masa yang dihabiskan di dalam lebuh raya akibat dari kerja-kerja pembaikan jalan.

Sewaktu pemanduan hari itu, saya dapat melihat dari dalam kereta beberapa helikopter pemadam kebakaran yang diletakkan di salah sebuah lapangan terbang di luar bandar. Kesemua helikopter itu telah digunakan untuk memadamkan kebakaran hutan yang terjadi pada bulan Ogos dan September.
Sebaik sahaja tiba di Medford, kami makan malam dahulu dan kemudian baharu lakukan daftar masuk hotel.

8 September 2022
Hari kesembilan ialah hari terakhir kembara berkereta USA bagi bulan Ogos/September 2020 yang bermula dari Medford, Oregon menuju pulang ke Vancouver, Kanada. Selepas sarapan pagi di hotel, baharu kami lakukan daftar keluar dan kemudian kami ke pusat bandar Medford.

Sewaktu saya sedang membeli belah barangan musim luruh di salah sebuah pusat membeli belah di pusat bandar Medford, saya telah mendapat berita bahawa Ratu Elizabeth II telah meninggal dunia. Sementelah ada kelapangan di dalam kereta, maka saya rakamkan gambar beberapa wang Kanada milik saya yang mempunyai gambar Ratu Elizabeth II.

Dari Medford kami meneruskan pemanduan dan singgah di ibu negeri Oregon iaitu Salem dan bergambar di hadapan bangunan perundangan negeri. Saya dan suami pernah datang dan membuat lawatan ke bangunan ini sewaktu melakukan kembara berkereta tahun 2012. Dari Salem kami menyambung pemanduan ke Tigard dan makan malam di restoran kegemaran kami iaitu Dave’s Hot Chicken.

Jarak antara Medford, Oregon dan Vancouver (rumah saya) ialah 938 kilometer dengan masa pemanduan yang dilakukan tanpa henti ialah 9 jam 20 minit (dikira mengikut trafik semasa). Bagi pemanduan kami pula ia mengambil masa selama hampir 13 jam kerana kami melakukan beberapa persinggahan untuk membeli belah, makan malam dan mengisi minyak kereta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *