9 Disember 2021, genap satu tahun emak pergi meninggalkan saya dan keluarga. Sebenarnya banyak yang ingin saya luahkan perasaan ini tetapi tidak tahu di mana mahu mula. Sepanjang satu tahun pemergian, sudah tidak terkira berapa banyak air mata yang mengalir. Akan tetapi, rindu saya terubat apabila dapat mimpikan emak.
Sepanjang satu tahun ini, banyak perkara yang ingin saya kongsikan dengan emak tetapi ia tidak dapat lagi saya lakukan. Paling terkini ialah pada minggu lalu sewaktu saya duduk di kerusi roda akibat kecederaan dalaman lutut. Walaupun saya seronok ditolak oleh suami di dalam pusat membeli belah, tetapi di dalam hati saya seperti meratapi. Saya terasa ingin sangat tunjuk gambar dan video kepada emak kerana sewaktu emak ada dahulu, beliau sering ditolak di atas kerusi roda apabila keluar dari rumah.
Sepanjang satu tahun ini juga, kalau boleh saya tidak mahu kerap melihat gambar-gambar emak kerana apabila saya melihatnya, hati jadi pedih dan saya pasti akan menangis. Walaupun saya sudah berkahwin selama 12 tahun menetap di luar negara, dan dijaga oleh suami tetapi setelah kehilangan emak, saya rasakan seperti tidak ada tempat untuk bergantung. Saya rasakan seperti saya hidup sendirian tanpa bantuan dan pimpinan tangan emak kerana saya anak bongsu di dalam adik beradik. Sepatutnya saya tidak perlu berasa begitu kerana saya sudah mula berdikari sejak saya bertugas sebagai pramugari.
Saya akui ianya hanya mainan perasaan kerana kesan akibat ketiadaan ibu itu masih lagi menebal. Saya seorang yang tabah dan boleh berdikari. Saya bangga kerana ibu saya bangga dengan ketabahan dan juga sifat tahu jaga diri saya itu.
Semoga ibu, bapa, bapa mertua, abang dan kakak ipar saya sentiasa tenang di sana. Al – Fatihah.
Al-Fatihah. ❤️
We can do this! Stay strong acu.
Kipidap,dongibap.. 😜