Skip to content

22.2.22 – Selamat Tinggal Ubatku

Apa istimewanya nombor 22.2.22? Saya bukanlah orang yang begitu taksub dengan nombor-nombor cantik di dalam kalendar. Akan tetapi ada kisah yang terjadi di sebalik tarikh 22 Februari 2022. Pada sebelah malam hari Selasa yang lalu, saya melihat kalendar untuk rujukan saya makan ubat. Apabila melihat sahaja tarikh itu, baharu saya mengetahui ia adalah hari terakhir saya perlu makan ubat. Apa pula yang istimewanya antara tarikh itu dan ubat?

Saya belum pernah cerita di laman blog bagaimana kesihatan mental saya mula terjejas. Saya juga tidak ceritakan secara menyeluruh bagaimana saya mengharungi dan menjalani proses pemulihan yang memakan masa bertahun-tahun lamanya. Tetapi di sini ingin saya maklumkan kepada anda bahawa saya secara rasminya telah berhenti dari mengambil ubat antidepressant (atas arahan doktor) pada 22. Februari 2022 setelah hampir tiga tahun saya mengambil pelbagai ubat-ubatan setiap hari.

Gambar di bawah ini dirakamkan beberapa minit sebelum saya menelan satu biji ubat untuk kali terakhir. Saya memberitahu suami berita gembira ini di dalam keadaan sebak. Terasa seperti air mata kegembiraan ingin mengalir tetapi saya menahan sebaik mungkin.

Tujuan saya mengambil gambar bersama suami ialah kerana beliau menjadi saksi melihat saya mulai mengambil ubat-ubatan sejak dari April 2019. Secara kebetulan, beliau juga menjadi saksi melihat saya mengambil ubat terakhir beberapa hari lalu. Maka kerana itulah saya rakamkan gambar bersama beliau dengan memegang botol ubat terakhir.

Sepanjang hampir tiga tahun ini, saya tidak dapat mengira jumlah keseluruhan botol ubat-ubatan. Jika mengikut anggaran kasar, mungkin lebih dari 60 atau 70 botol kesemuanya.

Terlalu panjang untuk diceritakan bagaimana proses pemulihan kesihatan mental yang saya harungi sejak dari bulan April 2019. Terlalu banyak kenangan pahit dan manis untuk dikenang. Apa-apa pun, saya berbangga dengan diri sendiri dan saya bersyukur kerana Tuhan sentiasa memberikan saya kekuatan yang saya inginkan.

Kepada anda yang membaca artikel ini, ingin saya pesan bahawa kesihatan mental sama penting dengan kesihatan fizikal. Jangan takut dan malu untuk mendapatkan rawatan dari pakar perubatan profesional.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *